Tinta 2
Aku menarik nafas lega tatkala sekonyong-konyong kelihatan sebuah teksi yang datang dari arah Pasir Mas menuju ke arah aku. Tanpa membuang masa aku menahan teksi tersebut. Di dalam hati aku berdoa agar pemandunya akan memberhentikan teksi dan sudi menghantar aku ke pejabat. Selalunya di waktu pagi teksi amat jarang untuk mengambil penumpang kerana tidak mahu terjebak dengan masalah kesesakan jalanraya.Apabila teksi itu berhenti betul-betul dihadapanku, tanpa membuang masa aku terus meloloskan diri ke dalam teksi. Nasib baik pemandu itu tanpa karenah terus bergerak menuju ke destinasi selepas aku memberitahu hala tujuan aku.
Di sepanjang perjalanan ke Bandar KB, aku duduk diam tanpa kata, berdoa dan berharap agar aku dapat segera sampai ke pejabat. Ketika melalui Pasir Pekan, aku menoleh ke sebelah kanan jalan di mana murid-murid sekolah SMKMM dan SMA Falahiah yang terletak bersebelahan sedang berpusu-pusu menuju ke sekolah masing-masing. Tatkala terpandang sekolah aku dahulu hati aku menjadi sayu. Di sinilah tempat aku menimba ilmu sehingga aku mampu menjejakkan kaki ke menara gading. Betapa banyaknya jasa sekolah ini kepada aku.
Apabila melepasi bulatan Pasir Pekan menuju ke Bandar KB, teksi mula bergerak perlahan, aku berharap keadaan ini hanya seketika sahaja memandangkan beberapa ratus meter di hadapan terdapat pula sekolah rendah. Aku akur di waktu-waktu begini sudah pastilah ibu-bapa yang memberhentikan kereta di tepi jalan untuk menghantar anak-anak akan menyesakkan jalan raya yang sememangnya dalam pembinaan untuk melebarkan jalan. Itu belum lagi dengan bas sekolah yang berhenti untuk menurunkan para penumpangnya.
Apabila melepasi sahaja sekolah rendah tersebut aku menarik nafas lega. Namun pergerakan teksi tidak lagi selancar tadi apabila melalui jambatan Sultan Yahya Petra. Jambatan yang menghubungkan antara Pasir Pekan dengan Bandar KB. Jambatan ini menjadi nadi penghubung kepada penduduk sekitar Pasir Pekan, Kampung Kutan, Wakaf Bharu, Palekbang malah hingga ke Tumpat dan Pengkalan Kubur.
Sedang aku melayan fikiran, tiba-tiba tumpuan aku terarah pada siaran radio ERA yang sedia terpasang dalam teksi tersebut. Lagu Dealova nyanyian Once iaitu salah seorang anggota kumpulan Dewa sedang berkumandang di udara. Aku tersenyum sendirian kerana setiap kali aku mendengar lagu ini ingatan aku pasti pada Norlaila yang aku panggil Leleq.
Leleq amat gemarkan lagu ini. Ini lagu cinta dia. Tatkala berkumpul bersama-sama Leleq, Sheema dan Zana, pasti lagu ini akan kami nyanyikan pada dia. Di kala itu dia akan menarik muka masam kerana tahu kami mempersendakannya. Pada aku yang tidak ambil kisah pasal cinta, aku sering mengatakan yang Leleq minah jiwang. Dan ingatan pada Leleq, Sheema dan Zana rakan baikku di Uitm Shah Alam akan menggamit setiap kali lagu ini menyapa halwa telinga aku.
Lamunan aku tersentak, terbang di bawa angin pagi, apabila tiba-tiba engin teksi mula terbatuk-batuk dan teksi mula terhenjut-henjut dan terus terhenti di tengah-tengah bulatan kijang. Apalah malangnya nasib aku hari ini, belumpun sempat tiba ke tempat kerja, teksi pulak buat hal. Seakan mahu menjerit rasanya, tapi nasib baik akal bertindak waras mengharapkan agar aku bertenang. Nak marahkan pemandu itu pun aku rasa tidak wajar.
Aku mengambil keputusan untuk menapak sahaja ke pejabat. Memandangkan perjalanan aku sudah hampir benar nak sampai cuma nasib aje yang tidak menyebelahiku pada hari ini. Rasanya setiap apa yang aku lakukan pagi ini ada saja yang tidak kena dan sering berhalangan. Entah apalah malangnya nasib aku pada hari ini. Dalam keadaan kelam-kabut itu aku menghulurkan not sepuluh ringgit sebagai tambang.
Apabila terpandang saja wajah pemandu teksi tatkala dia menoleh kebelakang, barulah aku sedar dia tidaklah setua yang aku sangkakan. Umurnya mungkin dalam lingkungan awal 20-an. Terdetik dihatiku… takkanlah semuda ini sudah bawa teksi. Sepatutnya dia masih lagi belajar tak pun masih melanjutkan pelajarannya di IPTA. Tapi ya lah nasib masing-masing tidak sama. Mungkin dia orang susah dan perlu bantu keluarganya. Salah satu caranya adalah dengan membawa teksi.
Dia masih lagi tidak menyambut duit tambang yang aku hulurkan, namun matanya memandang tepat ke arah ku dengan pandangan yang aku sendiri sukar nak mengerti. Resah, gelisah, geram, terkilan, entah bermacam-macam rasa agaknya bergolak dalam hatinya. Manalah aku tahu apa perasaan dia di kala ini, yang aku tahu aku mahu cepat sampai ke pejabat.
Dia terus memandangku tanpa suara. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan, lantas duit itu aku letakkan di atas kusyen kerusi yang aku duduki. Pantas tanganku mencapai pemegang pintu untuk membuka pintu. Sempat ku lihat wajahnya yang berubah kelat apabila setiap kereta yang melintasi teksinya membunyikan hon bertalu-talu.
“Takkan saudari sanggup tinggalkan saya sendirian menghadapi keadaan ini” tiba-tiba dia bersuara dengan suara yang bergetar. Aku terkedu dan tidak jadi untuk melangkah keluar.
“Habis tu apa yang encik nak saya buat?”
Apalah yang boleh aku buat di waktu ini, dengan fikiran yang hanya mahu segera sampai ke pejabat, rasanya aku tidak mahu memikirkan apa-apa lagi selain yang satu itu. Namun apabila terpandangkan wajahnya yang bluurr itu aku jadi tak sampai hati.
“Dah lah pagi ni aku bangun lambat, naik teksi konon-kononnya nak cepat tup-tup masalah lain pulak yang aku dapat” aku bersungut dalam hati. Dia hanya memandang aku dengan pandangan yang terkebil-kebil. Apabila masih tidak mendapat jawapan dari mamat pemandu itu, aku mula geram.
“Habis tu apa yang awak nak saya buat” suara aku dah mula kuat dan bahasa aku dah mula berubah. Rimas dengan keadaan mamat yang terus-terusan memandang aku. Tiada lagi ber “encik-encik” sebagaimana yang aku gunakan sebelum ini.
“Saya pun tak tahu nak buat macam mana” Akhirnya dia bersuara setelah sekian lama di serang angin bisu.
“Takkan nak tunggu kat sini aje...” aku yang mula rimas dengan suasana tersebut di tambah pula dengan hawa panas yang mula terasa membahang apabila penghawa dingin tidak lagi mendinginkan ruang udara teksi berkenaan. Lantas tanganku mencapai pemegang pintu dan membuka pintu lantas keluar dari perut teksi tersebut.
Aku menghela nafas panjang cuba mententeramkan diri dari suasana yang menyesakkan itu tatkala aku telahpun berada di luar perut teksi. Udara di luar sini lebih selesa walaupun dengan keadaan jalan yang begitu sesak. Kenderaan yang berpusu-pusu menuju ke destinasi bertambah menyesakkan keadaan jalan. Salah satu sebab kesesakan jalan ini sudah pastilah berpunca dari teksi mamat ini yang mati tanpa sebarang notis. Aku mengandaikan sekiranya teksi ini tidak dialihkan ke tepi untuk memberi laluan kepada kenderaan lain, keadaan jalan ini akan terus sesak.
“Apa aku nak buat ni?”
“Begitulah kalau perancangan tidak dibuat dengan teliti tanpa mengambil kira faktor sekitar” aku merungut dalam hati.
Amboi Diana mentang-mentanglah kamu ambil jurusan Perancangan Bandar… pandai-pandai kamu menyalahkan pembangunan, lulus pun tak lagi, dah pandai membuat andaian kamu yea.
Aku tersenyum simpul memikirkan aku cuba menjadi perancang pulak. Memang benarpun kerana aku sekarang sedang mengikuti kursus Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah. Sudah pastilah sedikit sebanyak ilmu yang aku perolehi di dalam kuliah akan cuba aku praktikkan.
“Apa yang awak senyumkan tu?” Entah waktu bila mamat tersebut turut serta keluar dari perut teksi akupun tak sedar.
“Awak gelakkan saya ke?”
Pertanyaan mamat tersebut langsung mematikan senyumanku. Aku pun tidak sedar waktu bila aku boleh tersenyum. Dalam suasana yang getir macam ni pun aku sempat berangan. Diana… Diana apa nak jadi dengan kamu. Aku pandang mamat tersebut dengan pandangan yang kosong.
“Saya bukan gelakkan awaklah…” aku menjeling ke arah mamat teksi itu.
“Habis apa nak buat ni?”
Aku tidak tahu pada siapa aku tujukan soalan cepumas itu. Nak harapkan mamat tu… memang dah sah-sah bluurr apa lagi yang dapat aku harapkan. Tiba-tiba aku mendapat idea. Tanpa menunggu jawapan dari mamat blurr ni aku pantas berjalan ke arah tempat pemandu.
“Awak tepi sikit...”
Mamat tersebut menghindar memberi laluan kepada aku. Lantas aku mengambil tempat di bahagian pemandu.
“Awak nak buat apa ni?” Mamat itu terus-terusan memandang aku dengan wajah yang terpinga-pinga.
“Alihkan kereta nilah… takkan awak nak saya tolak kereta ni pulak, dah la saya pakai macam ni…” sambil memandang baju kebaya yang tersarung ditubuhku.
“Awak pandai ke bawak kereta?” tiba-tiba mamat itu tidak jadi melangkah ke belakang.
“Habis tu awak nak tunggu sampai bila?” Aku mula naik geram dengan kerenah mamat blurr ni. Tak pasal-pasal mamat tu dapat gelaran blurr.
“Dah lah… awak tolak ajelah kereta ni ketepi kalaupun engin dia tak nak hidup, sekurang-kurangnya kalau nak terpacak kat jalan pun biarlah kat tepi, awak tak malu ke orang yang lalu lalang kat sini semua pandang?” Mamat ni betul-betul menguji kesabaran aku.
Tanpa menunggu sesaatpun aku freekan gear untuk memudahkan mamat itu menolak teksi ke tepi jalan. Nasib baik beberapa depa ke depan sudah masuk ke Jalan Kampung Sireh. Di bawah panas terik mentari pagi, dengan kesesakan jalan, dengan kenderaan yang berpusu-pusu, jalan yang sedepa di depan mata seakan sebatu jauhnya. Berpeluh-peluh jugak aku lihat mamat itu menolak teksi seorang diri. Aku hanya menjaga stereng agar tidak kesasar.
Apabila aku agak jalan sedikit lengang dan agak selamat untuk memangkir kereta dan laluannya tidak menghalang kenderaan lain, aku menekan brek untuk memberhentikan teksi tersebut. Apabila teksi tersebut sudah benar-benar berhenti, aku keluar dari teksi, lantas mengambil beg tangan aku.
Apalah malangnya nasib aku hari ini. Dahlah terlewat bangun, lepas tu buat free show pulak kat tengah-tengah bulatan kijang. Malunya aku, usah dikira, rasanya seinci tebal kulit muka aku yang lawa ni… amboi perasannya kamu Diana.
Tanpa menunggu walau sesaatpun, aku mengatur langkah menuju ke arah pejabat yang jaraknya lebih kurang 500 meter dihadapan, nasib baik selama 3 bulan aku buat latihan praktikal kat sini, aku telah belajar selok belok jalan pintas untuk ke tempat kerja.
Harap-harap pintu belakang telah dibuka, kalau tidak terpaksalah aku menapak 500 meter ke depan lagi. Itupun kalau pintu di tepi Bank Muamalat juga tidak dikunci. Kalau sesiapa yang tidak biasa, tidak akan sedar akan adanya jalan pintas tersebut. Aku sendiripun tidak perasan pada mulanya sehinggalah suatu hari apabila aku menemani Kak Mah yang ingin ke bank tersebut.
Macam manalah suasana di pejabat tanpa aku. Ewah… macam lah awak tu orang penting!! Sempat lagi aku melayan angan bila kaki mula melangkah.
“Hei awak nak ke mana tu…?” tiba-tiba langkahku terhenti. Baru aku sedar akan si mamat blurr yang aku tinggalkan aje kat tepi jalan tadi.
“Nak pergi kerjalah… nak ke mana lagi. Ini pun saya dah terlewat kalau bos marah, saya suruh dia cari awak, marah kat awak. Sebabkan teksi buruk awak ni saya dah terlambat masuk office” Entah dari mana datangnya semangat amarah ku.
Tanpa sedar aku telah mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya aku luahkan. Di mana nilai dan kesabaran yang aku tanamkan dalam hati selama ini. Padahal teksi yang dibawanya tidak lah tua sangat melihatkan plet nombor nya yang sudah mececah 3 digit berbanding dengan kereta abah yang masih lagi 2 digit di depan.
Wajah mamat itu ternyata berubah apabila mendengar jawapan yang aku berikan. Tanpa menunggu lebih lama, aku lantas berpaling dan meneruskan perjalanan aku. Dalam pada itu timbul perasaan kesal bergayutan di hati aku. Aku mula kesal dengan tutur kata yang aku keluarkan pada mamat itu. Benarlah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata menyesal tak sudah.

